
Refleks Prolaktin dan Oksitosin
Prolaktin dan oksitosin adalah hormon-hormon yang berperanan
penting dalam penyusuan ibu di samping hormon-hormon utama wanita iaitu
estrogen dan progesteron.
Semasa kehamilan, aras
estrogen yang tinggi meningkatkan penghasilan prolaktin. Pada ketika ini
prolaktin berperanan untuk kematangan kelenjar mamari (mamogenesis) bagi
menyediakannya kepada penyusuan ibu apabila bayi lahir kelak. Namun begitu aras
progesteron yang tinggi ketika itu merencat peranan prolaktin untuk merembeskan
susu dalam waktu kehamilan ini.
Sebaik sahaja kelahiran
berlaku, aras prolaktin akan berkurangan kerana pencetus dalamannya (iaitu
plasenta) telah tiada. Oleh itu hisapan bayi akan memainkan peranan penting
untuk merangsang penghasilan prolaktin selepas kelahiran ini.
Hisapan bayi akan
merangsang reseptor pada puting dan areola ibu untuk mencetuskan impuls yang
akan dibawa oleh sistem saraf ke otak (hipotalamus). Ini seterusnya
merangsang kelenjar pituitari (anterior) merembeskan hormon prolaktin. Hormon
prolaktin seterusnya dibawa oleh aliran darah ke payudara. Di payudara,
reseptor yang terdapat di sekeliling alveolus akan mengesan kehadiran
prolaktin dan seterusnya merangsang kelenjar mamari menghasilkan susu ibu untuk
persediaan penyusuan seterusnya.
Apabila alveolus penuh
terisi dengan susu ibu, dinding sel mioepitelia akan mengembang dan menghalang
prolaktin sampai ke reseptor di alveolus. Oleh itu apabila reseptor pada
dinding alveolus mengesan kekurangan prolaktin, penghasilan susu oleh kelenjar
mamari juga akan berkurangan. Sebaliknya apabila alveolus telah dikosongkan
(susu telah dikeluarkan/dihisap oleh bayi), sel mioepitelia akan kembali ke
bentuk asal dan seterusnya membenarkan prolaktin melaluinya untuk merangsang
kelenjar mamari menghasilkan susu semula. Perembesan prolaktin ini dikenali
sebagai refleks prolaktin.
Untuk memahami refleks
ini dengan mudah, saya ringkaskan begini:
·
Bayi menghisap puting
payudara dan mengosongkan stok susu dalam payudara
·
Prolaktin dirembes
oleh kelenjar pituitari
·
Prolaktin merangsang
kelenjar mamari menghasilkan susu
·
Payudara diisi dengan
susu semula
·
Kehadiran susu dalam
payudara merencat tindakan prolaktin
·
Jika susu di dalam
payudara tidak dikeluarkan, aras prolaktin kekal rendah, maka susu
baru tidak dihasilkan
·
Jika susu di dalam
payudara dikeluarkan, proses penghasilan susu akan berlaku semula
Kesimpulannya: lebih
kerap payudara dikosongkan lebih banyak prolaktin akan berjaya
merangsang kelenjar mamari menghasilkan susu.
Namun begitu prolaktin
hanya berperanan dalam penghasilan susu (laktogenesis) tetapi pancutan susu
dikawal oleh hormon oksitosin yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari
(posterior).
Hisapan bayi pada
puting payudara ibu mencetuskan impuls yang dibawa oleh neuron ke
otak untuk merangsang kelenjar pituitari (posterior) merembeskan
oksitosin. Oksitosin seterusnya dibawa oleh aliran darah ke payudara ibu.
Kehadiran oksitosin merangsang sel mioepitelia mengecut dan seterusnya
merangsang pancutan susu melalui duktus laktiferus ke arah areola dan
puting payudara. Tindakan ini dinamakan refleks oksitosin atau lebih dikenali sebagai let-down reflex.
Sumber: wikipedia.org,
kellymom.com, colorado.edu
No comments:
Post a Comment